Sindrom `poshitis'
Gaya dan stail terbaru
Victoria Beckham menggendong tas tangannya yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan pakar kesihatan.
Puncanya bukan pada saiz beg tangan yang terlalu besar (bertujuan
memberi ilusi kurus pada tubuh) tapi obsesi terbaru Victoria menyangkut
tangkai tas tangan pada siku dikhuatiri menjadi penyebab otot dan tendon
siku tercedera.
Sindrom digelar `poshitis' itu menjadi ikutan dalam kalangan wanita
bercita rasa terkini dan boleh mengundang kecederaan lebih teruk jika
beg bersaiz besar itu penuh diisi bermacam barangan.
Pakar fisioterapi persendirian berpusat di London, Sammy Margos, berkata
kaedah membimbit tas tangan menjadikan lengan berbentuk L itu juga
boleh menyebabkan masalah ketegangan otot berulang selain kesakitan pada
bahu dan leher.
"Ramai wanita beranggapan mereka perlu mengikut aliran fesyen semasa
tanpa menyedari cara mereka berfesyen itu boleh mengundang padah.
"Wujud banyak peningkatan kes sakit bahu dan leher selain tekanan
terhadap postur tubuh disebabkan kesilapan kaedah membawa beg tangan dan
pemakaian kasut bertumit tinggi," katanya.
Selain itu, jika diperhatikan di sekeliling anda, ada juga wanita yang
selesa membimbit dompet besar yang berisi wang, dokumen diri dan wang
syiling dengan posisi lengan sedikit tinggi atau berbentuk L.
Situasi itu juga sebenarnya boleh mengganggu postur tubuh, posisi
berjalan dan seterusnya menyebabkan sakit belakang, bahu, leher dan
pinggul.
Masalah bertambah
Pakar tulang belakang, Sri Balaji Action Medical Institute, India, Dr
Neerak Jain berkata, kebelakangan ini, ramai orang muda menderita
masalah tulang belakang dan keadaan ini mengalami peningkatan mendadak
disebabkan perubahan gaya hidup.
Peralihan zaman menyebabkan ramai wanita sering berdampingan dengan
gajet elektronik seperti iPod, iPad telefon bimbit pintar dan kamera
digital yang memerlukan ruang lebih besar dalam tas tangan.
Beg berat menjadi punca mengapa lebih ramai wanita mengalami masalah sakit leher dan belakang ketika ini.
Selain itu, membimbit beg atau dompet di sebelah bahagian badan
sebenarnya boleh menyebabkan ketidakseimbangan postur badan, malahan ia
juga menekan otot dan saraf pada leher yang bersambung ke bahu.
Jika diteruskan dalam tempoh panjang, ia boleh menjadi punca kekejangan bahu juga arthritis (radang sendi).
"Bebanan beg boleh meninggalkan kesan pada belakang, leher dan bahu,
malah menyebabkan sakit kepala serta memburukkan lagi kondisi penyakit
radang sendi," kata Pakar Ortopedik, Dr Anurag Tripathy.
Kesan jangka panjang membawa tas tangan mencecah dua kilogram saban hari
juga akhirnya boleh merosakkan tisu lembut dan ketidakjajaran postur
tulang belakang seterusnya memberi kesan terhadap otot tulang belakang.
Apabila membimbit beg berat, leher secara semula jadi akan condong bagi
mengimbangi berat yang ditanggung. Ia menyebabkan beban berlebihan di
sebelah leher dan ketegangan otot pada leher sebelah lagi.
"Apabila otot penat, ia tidak akan memegang tulang belakang dengan betul
dan akibatnya, ia akan tergelincir. Masalah itu menyebabkan kesihatan
tulang belakang dan bahu merosot, malah lebih teruk menyebabkan
kesakitan sendi," kata Dr Tripathy.
Tidak hanya itu kerana membimbit beg tangan berat juga boleh merubah
pola berjalan seseorang dan sistem tulang, yang akhirnya mengundang
pelbagai masalah antaranya tekanan pada sendi kaki (jika terlalu lama,
boleh menyebabkan ia terkoyak).
Beg beroda sebagai penyelesaian
Penyelesaian terhadap masalah ini adalah dengan menggalas atau
menyangkut beg pada kedua-dua belah bahu atau menggunakan beg beroda.
Paling penting, elakkan meletak seluruh beban beg pada sebelah badan
kerana ia menyebabkan ketidakseimbangan berat pada leher, bahu dan
belakang.
Menurut pakar fisioterapi, ketidakseimbangan postur boleh menyebabkan
cakera tulang belakang beralih. Membawa beg antara satu hingga 1.8
kilogram (kg) masih boleh diterima tapi sebaiknya, hadkan berat beg
hanya 1.5 kg.
Jadi, selepas ini mungkin Victoria Beckham perlu mencipta trend baru iaitu menyandang beg galas bagi mengisi semua keperluan apabila keluar dari rumah.
Ini kerana menyandang beg galas boleh mengelakkan masalah sakit tulang belakang.
Tip sihat
* Pilih tas tangan sepadan dengan tubuh.
* Sentiasa lakukan regangan ringan untuk otot leher dan belakang * hayun lengan, pusing bahu dan regangkan kepala kiri ke kanan.
* Pilih beg yang mempunyai banyak poket. Jadi anda boleh asingkan barangan secara sekata di dalam tas.
* Tangkai lebar mengurangkan beban beg pada bahu.
* Sentiasa bergilir menyandang tas di bahu kanan dan kiri.
* Jangan galas beg terlalu lama.
* Jika perlu membawa komputer riba, gunakan beg jenis galas. Jika
mengguna beg bimbit di bahu, gilirkan bahu dan pastikan ia dibawa rapat
ke badan.
* Pastikan beg digalas beratnya hanya antara 10 hingga 15 peratus berat tubuh.
* Buat yoga untuk meningkatkan keseimbangan dan kelenturan tubuh.