Menjalani kehidupan baru sebagai suami isteri lebih-lebih lagi tinggal sebumbung dengan mertua sedikit sebanyak menimbulkan suasana janggal kepada pasangan berkenaan. Ramai juga yang beranggapan tinggal bersama ibu bapa mertua ibarat percaturan kerana tersilap langkah boleh menjejaskan hubungan kedua-dua pihak. Lantas, sebagai panduan kepada pasangan yang bakal serumah dengan mertua berikut tip yang dapat kami kongsikan bersama anda.

1)Sebelum berpindah ke rumah mertua, sebaiknya berbincang terlebih dahulu tentang masa depan rumahtangga anda. Sebagai contoh, sediakan jadual giliran bagi melakukan kerja-kerja asas di rumah seperti membasuh baju, memasak dan mengemas. Di samping meringankan bebanan mertua, anda berdua juga dapat berdikari dan menyediakan kelengkapan pasangan.

2)Pelihara ruang dan waktu privasi anda. Walau pun anda tinggal di rumah mertua, namun ia tidak bererti mereka boleh masuk ke kamar tidur anda sesuka hati. Jadi, pastikan anda menitikberatkan perkara ini.

3)Elakkan bertengkar di hadapan mertua mahupun adik-beradik agar tidak menimbulkan perspektif negatif di kalangan mereka. Hindari juga daripada masuk campur dalam pertelingkahan pasangan anda dan adik-beradik mahupun ibu bapanya.

4)Tingkatkan komunikasi bersama pasangan dan keluarganya. Praktikkan amalan-amalan yang sepatutnya seperti mengetuk pintu bilik terlebih dahulu sebelum masuk atau usikan kepada ipar atau adik-beradik pasangan anda yang gemar berpakaian kurang sopan agar mereka lebih berwaspada ketika berpakaian.

5)Jika kehidupan kalian berdua kian merasa stres dengan keadaan sekeliling, segera ambil keputusan untuk berpindah. Jika tidak, berbincanglah dari hati ke hati agar permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan segera dan tidak menjadi barah dalam perhubungan kalian.